TMJ Calon Paling Tepat | Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilihat sebagai calon paling tepat untuk menyandang jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Pendapat itu disuarakan Exco Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Azman Ibrahim ketika diminta mengulas mengenai senarai pencalonan bagi merebut jawatan 'kerusi panas' itu. Azman Ibrahim merupakan antara bekas pengurus skuad TRW paling berjaya apabila menjulang kejuaraan treble Liga Malaysia pada tahun musim 2012. Kini bertanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Operasi Liga Bolasepak Rakyat (LBR).
Beliau berkata perubahan dibuat Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu sejak mengambil alih kelab JDT menunjukkan baginda mempunyai visi dan misi yang jelas dalam usaha membangunkan bola sepak negara apabila berjaya menjadikan JDT sebagai salah satu kuasa besar dalam bola sepak di rantau Asia Tenggara.
"Secara peribadi saya mengharapkan TMJ dapat menjadi presiden FAM kerana melihatkan perkembangan pasukan JDT di bawah pimpinan baginda pada ketika ini, mungkin baginda boleh buat perkara yang sama kepada FAM.
"Walaupun TMJ sendiri telah menyuarakan untuk tidak bertanding, dengan adanya pencalonan ini, saya berharap baginda dapat mengubah fikiran dan bertanding demi menaikkan tahap bola sepak negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat Kejohanan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) di sini, Selasa.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa tiga lagi calon yang disenaraikan turut mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri, namun TMJ dilihat sebagai calon yang lebih tepat berdasarkan pencapaian JDT di bawah kepimpinan baginda.
"Keempat-empat calon mempunyai kelebihan dan mungkin cara tersendiri untuk menangani masalah bola sepak di negara kita tetapi TMJ telah membuktikan kemampuan baginda melalui kelab JDT," jelasnya.
Semalam FAM telah menutup borang percalonan bagi merebut jawatan Presiden FAM yang baru bagi menggantikan Tengku Abdullah yang tidak bertanding pertahankan jawatan kali ini. Empat nama besar telah dicalonkan pada pemilihan kali ini.
Selepas pencalonan ditutup pada pukul 5 petang 23 Januari lepas, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengetuai senarai calon Presiden FAM dalam pemilihan 25 Mac ini.
Turut dicalonkan bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa serta Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM Tan Sri Aseh Che Mat.
0 Response to "TMJ Calon Paling Tepat - Exco Kafa"
Post a Comment