DRAMA SAGA THE RED WARRIORS TAMAT JUA


Segala drama tentang pasukan bola sepak Kelantan akhirnya terlerai. Eh tamat dah ke? Banyak episod lagi rasanya. Namun buat masa ini, episod tarik diri tamat apabila "bekas" Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa bersetuju untuk membantu melalui jaminan konsortium yang ditubuhkan dengan jumlah RM 3 juta kepada Kelantan menerusi kepentingannya sebagai Presiden dua syarikat, Al Hamra dan RedOne.

Ironinya sebelum ini, pada Julai 2016, Tan Sri Annuar sendiri yang mengumumkan Kelantan tidak punyai bajet yang mencukupi dan kekurangan dana sebanyak RM 6 Juta untuk meneruskan kelangsungan dalam Liga Super meskipun ketika itu Kelantan ditaja oleh sebuah syarikat produk kecantikan bumiputera, Qu Puteh.

Setelah tamat saingan Liga musim 2016, Annuar buat keputusan melepaskan jawatan sebagai Presiden KAFA pada 8 November.

Dan kemudian bermula sekali lagi kitaran drama yang pernah seperti tahun-tahun sebelumnya apabila KAFA sekali lagi terpaksa menagih simpati rakyat Malaysia tentang status kewangan mereka yang kian meruncing. 

Cuma yang menariknya tahun ini, masalah kewangan KAFA mendapat perhatian sehingga ke Putrajaya sehinggakan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa memberi saranan kepada Annuar untuk membantu KAFA dan menggesa agar jangan pasukan The Red Warriors menarik diri daripada saingan Liga Malaysia musim 2017. Ternyata terbukti PM Najib merupakan die hard fan TRW selama ini.

Setelah beberapa minggu laporan media melaporkan perihal KAFA yang sekejap tarik diri, sekejap jangan tarik diri, sekejap tak cukup bajet, sekejap kena bincang dengan "saya dahulu", dan pada masa yang sama di laman sosial pula, pasukan Kelantan tetap teruskan latihan seperti biasa dengan turut melancarkan kit latihan yang baru, dengan rekaan seakan jersi kebangsaan England, dan ia juga dibuka untuk dijual kepada umum.

Pada 6 Januari, seperti yang dijangka Kelantan akhirnya mengesahkan penyertaan mereka dalam liga musim ini. 

Peminat bola sepak di Malaysia sudah boleh meramalkan jalan cerita " The Red Warriors Saga" sebenarnya. Rata-rata komen netizen di Facebook sudah mengagak bahawa Tan Sri Annuar Musa akan kembali ke pangkuan KAFA sebagai adiwira, hero untuk membantu bekas pasukannya. 

Seperti tahun sebelumnya, KAFA & TSAM sentiasa cuba memburukkan kerajaan negeri apabila enggan memberi peruntukan dana kepada pasukan negeri sendiri. Umum ketahui kerajaan negeri Kelantan bukanlah kaya raya seperti negeri lain. Langkah YB Azmin Ali di Selangor yang tidak memperuntukkan bajet buat pasukan Liga Super Selangor bermula musim 2017 juga boleh dipuji supaya mengajar persatuan bolasepak tidak bergantung harap pada dana kerajaan negeri dan berusaha mencari penajaan sendiri. Ini langkah kearah penswastaan kelab.

Kerajaan negeri Kelantan telah menolak empat daripada lima permohonan yang dikemukakan Kafa dalam usaha meringankan beban kewangan persatuan tersebut yang kini mahu menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, kerajaan hanya meluluskan permohonan melupuskan cukai hiburan bernilai RM500,000 yang dikenakan kepada Kafa.

Abdul Fattah berkata, kerajaan negeri juga tidak bersetuju melupuskan levi stadium dan menolak permohonan Kafa untuk mendapat geran RM7 juta dan bantuan one-off RM3 juta.

“Kita telah buat keputusan bahawa kita tolak semua permohonan Kafa kecuali satu iaitu pelupusan cukai hiburan yang kita telah maklumkan kepada pihak mereka. Kafa juga meminta melupuskan levi stadium 10 peratus tetapi kita tidak setuju malah nilai levi ini akan dikekalkan sehinggalah ada sebarang peraturan baharu.

“Walaupun kita tidak lupuskan levi tetapi kita tidak pernah menekan pihak Kafa untuk segera membayar tunggakan,” - Datuk Abdul Fattah Mahmood

Jika dipandang positif, Annuar membuktikan yang dia seorang pejuang yang sebenar, bukan hanya sembang kencang menaikkan status di Facebook. Tulisan kecik besar "capslock" merupakan trademark TSAM. Pada awalnya, beliau tetap hadir walaupun sudah meletakkan jawatan sebagai Presiden KAFA menghulurkan RM3 juta daripada syarikat miliknya sebagai duit jaminan penyertaan pasukan Kelantan . Namun barisan Exco KAFA memberi alasan tiada penaja, berjaya kutip RM800k serta sering mengugut tarik diri. 

TSAM terus meletakkan dirinya sebagai hero bolasepak Kelantan apabila sekali lagi hadir membuat tajaan RM3 juta  menerusi kepentingannya sebagai Presiden dua syarikat, Al Hamra dan RedOne. Dan konsortium yang ditubuhkan oleh beliau akan berterusan mencari penajaan buat pasukan Kelantan bagi mengelakkan pasukan TRW kekurangan bajet musim ini.

Dan syukurlah, Annuar buat keputusan yang bijak dengan menukarkan kembali jersi Kelantan kepada warna merah. Warna tradisi Pahlawan Merah.

Selamat maju jaya buat pasukan Kelantan!


credit: Astro Arena


Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "DRAMA SAGA THE RED WARRIORS TAMAT JUA"

Post a comment