Kejayaan Faiz Subri ‘Panadol’ Bola Sepak Negara – TSAM


Kejayaan Mohd. Faiz Subri merangkul Anugerah Puskas Fifa 2016 disaran agar dijadikan penyuntik semangat untuk membawa sukan bola sepak negara ke tahap lebih tinggi. dan disifatkan sebagai pengubat kepada prestasi hambar bola sepak negara.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, prestasi bola sepak negara ketinggalan jauh ke belakang dalam kedudukan dunia oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

"Saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah dan saya fikir itu telah mengharumkan nama negara dan menjadi satu 'panadol' (ubat) kepada prestasi bola sepak negara yang berada pada kedudukan jauh.

Baca: Faiz Dinobatkan Pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016

"Itu merupakan satu pencapaian yang baik dan saya harap ia dapat melonjakkan semangat pemain-pemain bola sepak profesional Malaysia yang lain bahawa bukanlah sesuatu itu tidak boleh dicapai," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara) di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejayaan Mohd Faiz merangkul anugerah untuk jaringan gol paling cantik sepanjang 2016 di Zurich, Switzerland pada awal pagi Selasa.

Penyerang Pulau Pinang berusia 29 tahun itu meraih 59.46 peratus undi, sekaligus mengetepikan dua lagi finalis, Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez untuk menerima anugerah yang julung kali dimenangi pemain Portugal, Cristiano Ronaldo pada 2009.

Annuar yang juga Pengerusi Mara berkata, kemenangan Mohd Faiz di Anugerah Puskas Fifa itu juga mampu diraih pemain bola sepak profesional lain di negara ini.

Faiz Subri juga anak didik saya, kata Annuar Musa





"Ia bukanlah yang boleh dicapai oleh Faiz Subri seorang sahaja. Yang lain-lain juga mesti bersikap profesional untuk melakukan yang terbaik dan bukan hanya hari-hari sibuk nak gaji tinggi tetapi usahakan, tingkatkan prestasi," katanya.

Menurut Annuar, ia juga sebagai peringatan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan badan gabungannya supaya berusaha untuk mempertingkatkan prestasi bola sepak negara.

"Kemenangan Faiz bukan untuk dirayakan tetapi perlu dijadikan satu iktibar supaya kita bawa bola sepak negara ke satu tahap lebih tinggi," ujar Anuar.

Berdasarkan ranking terbaharu dikeluarkan menerusi laman web Fifa, www.fifa.com, skuad Harimau Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee itu berada pada posisi ke-161 dunia pada Disember lalu berbanding 156 pada November.

Untuk rekod, Malaysia berada pada kedudukan 171 pada Januari dan Februari, 166 (Mac), 174 (April dan Mei), 173 (Jun), 167 (Julai dan Ogos), 158 (September) dan posisi ke-164 dunia pada Oktober.


Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Kejayaan Faiz Subri ‘Panadol’ Bola Sepak Negara – TSAM"

Post a Comment