BUJANG SENANG HILANG TEAH


Sarawak terpaksa melupakan khidmat pertahanan import Teah Dennis, selepas pemain kelahiran Liberia itu gagal dalam tiga ujian kesihatan.
Pengurus Sarawak Datuk Posa Majais berkata, pihaknya akur dengan keputusan itu dan menyifatkannya sebagai berita buruk buat mereka.
“Teah seorang pemain berkaliber, berdisiplin dan beraksi cemerlang selama lebih enam bulan bersama pasukan.
“Namun, perpisahan ini tidak dapat dielakkan kerana ujian kesihatan mendapati dia dijangkiti Hepatitis B,” katanya kepada wartawan di sini, semalam.
Sepanjang musim lalu, Dennis cemerlang mengawal benteng pertahanan dan khidmatnya cukup ditagih terutama ketika Sarawak berdepan masalah kecederaan serta kad merah membabitkan dua tonggak pertahanan Ronny Harun serta Hairol Mokhtar.
Posa menjelaskan, kali terakhir pemain itu menjalani saringan kesihatan ketika Sarawak menjalani latihan dan perlawanan persahabatan di Perth, Australia, baru-baru ini.
“Teah kini tidak lagi bersama kami dan sedang bersiap untuk kembali ke Liberia bagi menjalani rawatan. Dia akan kembali ke negaranya dalam tempoh terdekat ini, mungkin dalam tempoh dua tiga hari lagi,” katanya.
Menurut Posa, pihaknya berharap pemain berusia 24 tahun itu dapat menemui penawar bagi penyakitnya itu, seterusnya meneruskan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.
“Berikutan perkembangan terbaru itu, Sarawak kini sedang mencari dua pemain bagi mengisi kekosongan kuota import,” katanya.
Dua pemain yang sudah ditambat skuad Bujang Senang bagi mengharungi saingan Liga Super musim depan ialah Lee Jong Ho, 30, dari Korea Selatan dan pemain Filipina Mark Andrew Hartmann, 24.
Rabu lalu, ketua jurulatih David Usop turut memaklumkan sedang menilai dua pemain import dalam sesi ujian iaitu Andy Lorei, 27, dari Amerika Syarikat, dan pemain Korea Selatan Kim Seong Hyeon, 23.

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "BUJANG SENANG HILANG TEAH"

Post a Comment