Ronaldo, Neuer, Ferguson ucap tahniah kepada Faiz Subri



Ucapan tahniah daripada pemain terbaik dunia Cristiano Ronaldo selepas menerima trofi anugerah Puskas 2016 awal pagi tadi menjadi antara detik penuh bermakna buat Mohd Faiz Subri.

Lebih manis, hasrat Faiz, 29, untuk bergambar bersama bintang Portugal dan Real Madrid itu pada majlis Anugerah Bolasepak FIFA 2016 tercapai.

"Selepas saya menerima anugerah itu, Cristiano Ronaldo mengucapkan tahniah kepada saya. Saya juga sempat bergambar dengannya, memang ketika itu saya tak tahu nak kata apa lagi," katanya ketika ditemui Arena Metro selepas majlis anugerah itu yang berlangsung di TPC Switzerland AG.

Faiz, pemain berasal dari Ayer Hitam, Kedah melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pemain Asia pertama meraih anugerah jaringan tercantik Puskas sejak diperkenalkan pada 2009.


Dengan mendapat undian sebanyak 59.46 peratus bagi gol sepakan percuma ke atas Pahang ketika aksi Liga Super pada 16 Februari tahun lalu, dia menewaskan pencabar dari Brazil Marlone (22.86) dan Daniuska Rodriguez dari Venezuela (10.01).



Selain Ronaldo yang memenangi Anugerah Puskas pada 2009, turut memberikan ucapan tahniah kepada Faiz adalah penjaga gol Jerman, Manuel Neuer; Dani Alves dari Juventus dan bekas pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson.

Malah rakan sepasukan Ronaldo di Real Madrid, Sergio Ramos turut menegur Faiz selepas majlis itu dengan mengatakan jaringan yang dilakukan itu adalah ajaib.

Ketika ditanya mengenai insiden dia mencari teks ucapan bahasa Inggeris dalam telefon bimbitnya di atas pentas, Faiz mengakui dia berasa gementar sebaik nama diumumkan sebagai pemenang.

"Di atas pentas cuma bagi masa 30 saat untuk berucap, mereka tak benarkan saya berucap dalam Bahasa Malaysia. Memang saya rasa 'ketaq' (gementar) sebab ini kali pertama saya berucap di pentas besar," kata pemain Pulau Pinang itu.


Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Ronaldo, Neuer, Ferguson ucap tahniah kepada Faiz Subri"

Post a Comment