Tendangan Faiz Subri hasilkan kesan Magnus, jaringannya tepati Hukum Gerakan Ketiga Newton

Tendangan Faiz Subri hasilkan kesan Magnus, jaringannya tepati Hukum Gerakan Ketiga Newton

Keunikan jaringan finalis Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2016, Mohd Faiz Subri yang disifatkan 'melanggar hukum fizik' oleh banyak pihak adalah tidak benar, kata pakar. 


Sebaliknya kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Dr Mohd Khairi Zawi, jaringan itu menepati ‘Hukum Gerakan Ketiga Newton’.

Lencongan bola yang berlaku sehingga menewaskan penjaga gol Pahang Nasril Naurdin itu disebabkan ‘kesan Magnus’ yang terhasil apabila bola sepakan Mohd Faiz berputar dan mewujudkan satu daya yang mengikut dan melawan pergerakan bola, jelas Mohd Khairi.

“Dia (Faiz) hanya menendang bola menggunakan bahagian luar kaki kanannya untuk melencongkan bola itu sehingga menghasilkan satu daya yang dikenali sebagai kesan Magnus,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Khairi menambah: “Tendangan seperti itu banyak terjadi di negara kuasa besar bola sepak dan memang boleh diterima akal manusia kerana ia menepati hukum fizik, cuma di Malaysia tendangan seperti itu boleh dikatakan pertama kali terjadi.”

Jaringan menakjubkan Mohd Faiz itu turut melakar sejarah bola sepak Asia kerana beliau menjadi pemain Asia pertama yang tersenarai antara tiga finalis terakhir jaringan tercantik Anugerah Puskas 2016.

Mengulas lanjut, pakar sains sukan itu menjelaskan teknik sebenar yang digunakan Mohd Faiz ketika mengambil sepakan percuma tersebut ialah ‘curveball’ dan bukan ‘knuckleball’ seperti yang diperkatakan oleh orang ramai.

“Teknik ‘knuckleball’ tidak mengakibatkan pergerakan bola itu melencong, sebaliknya bola akan bergerak secara ‘zigzag’ kerana terkesan daripada kesan gelora yang terhasil daripada daya julangan,” jelasnya.

Beliau turut mengakui untuk menghasilkan tendangan seperti itu, seorang pemain bola sepak perlu mempunyai kemahiran yang tinggi selain daripada pengetahuan tentang fizik.

“Pemain bola perlu menguasai sepenuhnya teknik kemahiran menendang iaitu melalui latihan yang cukup selain faham serta tahu tentang mekanisme pergerakan bola yang mereka inginkan,” kata Mohd Khairi.

Jaringan ajaib itu dilakukan Mohd Faiz sewaktu membantu pasukannya, Pulau Pinang mencatat kemenangan 4-1 ke atas Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari tahun lepas.

Fifa menerusi laman web rasminya, www.fifa.com pada Disember lepas mengumumkan jaringan Mohd Faiz tersenarai antara tiga jaringan terbaik dunia untuk Anugerah Puskas 2016.

Video jaringan Mohd Faiz yang dimuat naik oleh FIFATV di laman YouTube pada 21 November lepas telah ditonton lebih dua juta pelayar dari seluruh dunia setakat minggu lepas.

Jumlah tontonan itu jauh meninggalkan dua lagi finalis iaitu Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil (1.4 juta tontonan) dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela (1.1 juta tontonan).

Pemenang akan diumum pada Anugerah Bola Sepak FIFA di Zurich, Switzerland pada Isnin. Foto Bernama



Sumber: Mstar


Subscribe to receive free email updates:

2 Responses to "Tendangan Faiz Subri hasilkan kesan Magnus, jaringannya tepati Hukum Gerakan Ketiga Newton"

  1. Ada harapan cerah nak menang

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kena jaga jaga, takut kena potong last corner. Undi jangan tak undi :)

      Delete