DOLLAH SALLEH CARI LAGI TIGA IMPORT


Jurulatih Pahang Dollah Salleh masih lagi menguji beberapa pemain import dalam usaha memperkasakan skuad sebelum aksi pembuka tirai saingan Liga Super, 21 Januari ini.

Dollah yang juga bekas jurulatih kebangsaan berkata, sehingga kini beliau masih lagi menguji pemain import untuk disenaraikan dalam skuad kerana masih ada tiga kekosongan yang belum diisi.

Katanya, beliau tidak mahu terburu-buru berbuat demikian kerana apa yang penting ialah pemain yang bakal dibawa masuk nanti benar-benar dapat memikul tanggungjawab yang diamanahkan.

“Setakat ini, hanya Mohamadou Sumareh dari Gambia yang sah bersama Pahang dan kuota tiga lagi pemain import belum lagi diisi kerana kami masih menguji beberapa pemain.

“Pengalaman dimiliki Sumareh bersama beberapa pasukan yang diwakili sebelum ini diharap dapat membantu Pahang meraih kejayaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Musim lalu, Sumareh, 25, menyarung jersi Perlis dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2013 hingga 2015.Selain Sumareh, Pahang turut dikhabarkan mengikat bekas rakan sepasukan SUmareh di PDRM FA, iaitu kapten Maldives Ali Ashfaq. Pada masa yang sama, Pahang sedang menguji Kiko Insa dari Sepanyol bagi posisi pertahanan.

Setakat ini Pahang telah berbelanja besar untuk pemain tempatan apabila berjaya mengikat trio Terengganu iaitu Zubir Azmi, Ashaari Shamsuddin dan Joseph Kalang Tie manakala duo Kelantan Wan Zaharulnizam dan Muslim Ahmad. Pahang juga berjaya bawa Nuriddzuan Abu Hassan dari Perak serta gandingan Syamim Ahmad dan Christie Jayaselan dari Felda United. Satu gandingan yang hebat jika Pahang berjaya bawa pemain import berkualiti dalam pasukan ini.

Sementara itu, menerusi laman Facebook Pahang FA, skuad Tok Gajah akan bertemu Kuala Lumpur pada aksi persahabatan di Stadium Mini Temerloh, jam 8.45 malam ini.

Sehubungan itu, peminat Pahang dijemput hadir menyaksikan pertemuan dua pasukan itu yang dianggap sebagai persediaan sebelum sepak mula saingan sebenar.

Bagi melengkapkan persiapan Pahang, Dollah akan sekali lagi menguji pemainnya apabila bertemu kelab Singapura Tampines Rovers.


Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "DOLLAH SALLEH CARI LAGI TIGA IMPORT"

Post a Comment