SARAWAK BAWA PULANG 3 MATA PENUH ATASI PKNS FC

Hasrat Sarawak membawa pulang tiga mata penuh perlawanan menjadi kenyataan apabila berjaya menewaskan PKNS FC 3-2 dalam aksi Liga Super Stadium Shah Alam sebentar tadi.

Safee Sali dalam aksi PKNS FC vs Sarawak
Safee Sali dalam aksi PKNS FC vs Sarawak

Kemenangan itu membolehkan Sarawak menjarakkan diri daripada zon penyingkiran biarpun masih terdapat lima aksi Liga Super yang dijadualkan berlangsung pada malam ini.

Dalam perlawanan tersebut, skuad bimbingan E. Elavarasan dilihat mendominasi corak permainan bagaimanapun tidak banyak percubaan berbahaya yang berjaya dilakukan.

Sarawak hampir membolosi gawang pasukan tuan rumah seawal minit ke-10 namun tandukan Tommy Mawat Bada yang berpunca daripada hantaran lintang Mateo Roskam dinafikan oleh penjaga gol PKNS, Mohd. Zamir Selamat.

Perlawanan semakin rancak apabila kedua-dua pasukan masing-masing melancarkan serangan dan pasukan pelawat akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-18 setelah Roskam pantas mengambil tindakan susulan berpunca daripada rembatan Mark Hartmann yang terlebih dahulu terkena palang.

Bersambung babak kedua, The Red Ants berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan Lucas Sebastian Espindola pada minit ke-56.

Semangat juang yang dipamerkan oleh Sarawak akhirnya berjaya membuahkan hasil apabila mereka kembali berada di depan menerusi percubaan Hartman yang melepaskan rembatan dari jarak jauh menewaskan penjaga gol gantian PKNS FC, Muhamad Nor Haziq selang lima minit kemudian.

Biarpun beraksi dalam hujan namun itu tidak menghalang Sarawak memburu gol apabila pemain gantian, Mohammad Hafiz Abu Bakar berjaya meledak gol kemenangan skuad Bujang Senang pada minit ke-63.

PKNS FC cuba bangkit menerusi jaringan pemain gantian Mohd. Khairul Ramadhan pada minit terakhir permainan namun usaha itu masih belum mampu untuk mereka mencuri sekurang-kurangnya satu mata daripada Sarawak. - UTUSAN ONLINE

Video Gol PKNS FC vs Sarawak 2-3





Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "SARAWAK BAWA PULANG 3 MATA PENUH ATASI PKNS FC"

Post a Comment