LIGA SUPER: JDT TUMPASKAN SARAWAK 2-0 DI KUCHING

Pasukan Sarawak gagal memanfaatkan bermain di laman sendiri apabila tewas 0-2 kepada Johor Darul Ta'zim (Johor DT) dalam aksi Liga Super 2017 di Stadium Negeri, Kuching malam ini.

Perebutan bola di udara antara pemain JDT dan Sarawak
Perebutan bola di udara antara pemain JDT dan Sarawak

Pada perlawanan itu, Johor DT berjaya memperoleh jaringan pertama seawal minit kesembilan selepas penjaga gawang, Mohd. Shahril Sa'ari gagal menampan kemas sepakan pemain import Gonzalo Gabriel Cabrerra untuk mendahului permainan.

Permainan kemudiannya menjadi semakin rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Namun, keputusan 0-1 kekal sehingga tamat aksi separuh pertama permainan.

Memasuki babak kedua, Johor DT terus garang dengan melancarkan serangan namun berjaya dipatahkan barisan pertahanan Sarawak.

Skuad Bujang Senang berjaya menyeimbangi perlawanan dan memperoleh peluang keemasan pada minit ke-58, namun sepakan percuma diambil Mark Andrew Hartmann sekadar melepasi palang gol.

Johor DT kemudiannya terus memperkemas aksi dan Gonzalo Cabrerra sekali lagi mencipta jaringan pada minit ke-70.

Perlawanan berkesudahan 0-2 sehingga wisel penamat dibunyikan oleh pengadil perlawanan, S.Sittharajan.

Keputusan itu melonjakkan skuad Harimau Selatan ke tangga ketiga liga dengan mengumpul 11 mata, manakala Sarawak kekal di tangga kesembilan dengan tujuh mata.

Video Sarawak vs JDT 0-2





Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "LIGA SUPER: JDT TUMPASKAN SARAWAK 2-0 DI KUCHING"

Post a Comment